Wednesday, 6 June 2012

Kerja, Janji & Berkat

Ada macam-macam kerja yang kita jumpa dalam hidup ni. Ta kisah la ada kaitan dengan kita atau tak. Pada aku kerja ni adalah satu tanggungjawab yang telah diamanahkan, tak kiralah kerja dengan orang ke atau kerja sendiri. Umpama kita telah berjanji untuk menjalankan tanggungjawab.

Kat sini aku adalah nak cerita sikit tentang hal kerja dan janji yang ada tempias sikit-sikit dengan hidup aku. Untuk pengetahuan semua, dulu aku sangat mementingkan kawan-kawan dalam kebanyakan keputusan yang aku buat, biasanya yang melibatkan duit. Contohnya, kalau aku nak cari partimer di tempat kerja aku, biasanya aku akan tanya dulu kawan-kawan yang ada kaitan dalam bidang kerja yang aku akan tawarkan tu. Pada aku, lebih baik aku tolong kawan-kawan berbanding dengan orang yang aku tak kenal. Tapi setelah banyak kejadian yang menyakitkan hati yang melibatkan kawan-kawan, sekarang aku hanya utamakan kawan-kawan yang teramat rapat dan sangat boleh dipercayai supaya hati aku tak sakit lagi. Ini di antara kejadian yang aku harap dapat memberi pengajaran kepada semua..

Kerja 1

Ada seorang makhluk Allah ni datang mengadu tentang kesempitan ekonominya pada bulan tersebut. Dan secara tiba-tiba dia ada keperluan untuk pulang ke kampung halaman atas urusan kecemasan. Oleh kerana dia dapat tahu tentang beberapa kerja yang belum selesai di tempat kerja aku, dia meng'offer' dirinya untuk membantu dengan kadar upah partimer. Sebenarnya aku tak perlupun partimer dan kerja tersebut tidaklah sesusah mana tapi memandangkan dia teramat beria-ia, akupun benarkan dia jadi partimer.

Ada 3 stages untuk tugasan tersebut dan sekiranya seorang pekerja mengerjakan ketiga-tiganya secara santai sekalipun, kerja itu akan dapat diselesaikan dalam masa 3-4 hari. Dia telah menyiapkan stage 1 pada hari pertama dan upah telah diberikan secara penuh (upah diberikan sedikit tinggi berbanding partimer biasa sebab faktor kawan) dan telah pulang ke kampung pada hari kedua. Dia telah berjanji dengan bersungguh-sungguh akan menyiapkan stage 2 dan 3 kerja tersebut sebaik sahaja dia pulang dari kampung. Walaupun hati aku ada rasa sedikit berat tapi aku berbaik sangka kerana dia merupakan orang yang menjaga solat dan kelihatan seperti berpengetahuan agama. Sudah semestinya dia akan berpegang kepada janji.

Beberapa hari kemudian dia telah pulang dari kampung. Tetapi aku menjadi pelik kerana dia langsung tidak singgah ke tempat kerjaku untuk selesaikan tugasan yang terbengkalai. Setelah beberapa hari dia asyik meminta maaf dan memberikan pelbagai alasan untuk menangguhkan kerja, akupun selesaikan baki tugasan. Semestinya aku mempunyai target kerja dan aku rasa kalau dia betul-betul 'ada akal', sudah semestinya tugasan tersebut diutamakan walaupun dia sibuk kerana dia telah berjanji. Takkan kerana dia, aku terpaksa rombak jadual kerja telah aku buat dari awal lagi. Lagipun dia pun maklum tentang jadual tersebut.

Setelah dia mendapat tahu yang tugasan telah diselesaikan dia beria-ia meminta maaf tetapi pura-pura bertanya sama ada dia patut pulangkan upah tersebut atau tidak. Aku tidak memberi sebarang ulasan tentang upah tersebut kerana aku sedang menjaga mulutku agar tak tersalah kata. Hati tengah panas la katakan, tersalah kata, buruk padahnya. Pada aku, kalau dia ada 'harga diri' semestinya dia berasa malu dan memulangkan tanpa banyak bicara. Mungkin kerana aku tidak bersuara, dia 'assume' yang aku langsung tak kisah tentangnya. Sesungguhnya aku tidak pernah cuba mengghalalkanpun upah tersebut. Sampai sekarang kami masih bersua muka tetapi aku rasa dia dah terlupa tentang perkara tersebut..

Kerja 2

Perkara ni terjadi ketika aku mula berjinak-jinak berniaga di pasar suatu ketika dahulu. Dia ni boleh dikatakan salah seorang kawan aku. Aku baru je kenal dia ni. Dia selalu bercerita tentang pengalaman hidupnya yang penuh pancaroba, ada susah, ada senang. Dan pada ketika itu, hidupnya agak susah kerana berpendapatan kecil tetapi terpaksa menanggung ahli keluarga yang ramai. Akupun bukanlah kaya, senangpun tidak. Tapi aku tak ada tanggungan, oleh itu aku bersimapti dengannya. Memandangkan kami berminat untuk memulakan perniagaan, aku mencadangkan satu tapak pasar yang berdekatan sebagai tapak perintis. Sebenarnya aku sudahpun ada partner dan tapak itu memang telah menjadi target kami untuk cuba. Dia ni aku ajak atas faktor kawan (sekali lagi).

Memandangkan pasar tersebut bermula diawal pagi dan tapak tidak tetap, urusan pendaftaran tapak, mengangkut barang-barang berniaga dan set up tempat semua aku dan partner aku yang buat. Dia memberikan alasan rumahnya jauh dan tidak dapat datang awal. Pada awalnya aku dan partner aku rasa ok je tapi lama-lama terasa macam diperalatkan pula. Satu hari aku paksa dia datang awal dengan alasan kereta yang lagi satu rosak (memang rosakpun). Kemudian dia rasa ok untuk datang awal.

Selain pasar tersebut, kami turut berniaga secara kecil-kecilan di tempat lain tetapi tidak begitu aktif. Aku banyak cari market baru di kalangan kawan-kawan supaya tidak perlu membuang terlalu banyak masa untuk berniaga dan menunggu pelanggan. Aku jadikan beberapa orang kawan aku sebagai 'agen' di tempat kerja mereka. Semakin hari semakin ok pendapatan perniagaan kami. Sayangnya, sebaik sahaja kami agih-agihkan keuntungan bersih pada bulan yang ke-3, dia mula menunjukkan ketamakkannya. Mungkin dia rasa rugi kerana terpaksa berbahagi keuntungan sedangkan jika dia berseorangan, dia akan dapat lebih banyak. Sesungguhnya dia lupa perdapatan tersebut adalah hasil usaha tiga orang yang kebanyakannya dari aku dan partner aku. Jika dia berseorangan, pendapatannya mungkin sekali tidak sama.

Aku ingat lagi di suatu hari, sehari sebelum hari berniaga di pasar, partner aku ada bertanya padanya sama ada dia ingin berniaga atau tidak pada keesokkan hari. Dia cuma cakap, "tengoklah dulu petang ni". Dan petang itu dia tidak kelihatan. Esok pagi aku dan partner aku tergerak untuk pergi ke pasar tersebut, sebab kami dah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dan ternyata telahan kami benar belaka. Dia sedang berniaga di tapak kami bersama dengan orang lain (yang aku kira partner dia). Yang lebih menyakitkan hati barang-barang berniaga kami turut dia bawa bersama, banyak pulak tu. Entah apalah yang diceritakan kepada jiran tapak kami sebab sebaik sahaja kami tiba, jiran tersebut tersenyum sinis sambil menyindir kami. Ketika kami tiba, dia kelihatan terkejut. Partner aku masih boleh bertegur sapa tetapi aku hanya memerhatikan setiap barang yang dibawa. Partner diapun aku tak tegur walaupun aku kenal. Sakit sangat hati aku ni.

Inilah manusia, ketika susah menagih-nagih, bila senaang sikit pijak kepala. Baru untung sikit dah jadi tamak. Kalau nak tipu akupun biarlah berjuta-juta ke, berbillion-billion ke.. baru la layak dipanggil Si Tamak. Ini sikit sangat, kalau nak sangat aku boleh bagi je lah. Tapi bagus juga aku nampak siapa dia yang sebenarnya dari awal, kalau tak memang malang la aku. Setakat ni dia pernah minta maaf pada partner aku tapi partner aku tak cakap apa-apapun. Dengan aku tak pernah pun. Ingatkan dah minta maaf dah insafla kot tapi minggu depannya berniaga lagi di tapak yang sama. Memangla tak tahu malu. Tak apalah.. duit modal kami dan barang niaga yang tidak dipulangkan itu tidaklah pernah kami halalkan..

Kerja 3

Benda ni jadi baru-baru ni saja. Ketika kejadian ribut tempoh hari, rumah aku memerlukan sedikit renovation di bahagian luar rumah. Walaupun sedikit, jika renovation tidak dibuat, bahagian dalam rumah akan terjejas. Memandangkan kawan aku ni kata dia berpengalaman dan dapat menjimatkan banyak kos, akupun upahkan dia. Baik aku tolong kawan-kawan daripada aku bagi duit pada orang lain. Dipendekkan cerita, sepatutnya kerja itu mengambil masa kurang dari seminggu, tetapi telah mengjangkau kepada tiga minggu kerana waktu kerjanya tersangatlah pendek dan ada komitmen lain. Yang tak bestnya, aku kena berada di rumah sebab dia tak mahu datang kalau aku tak ada. Sengal sangat, macam la aku tak ada kerja lain. Akhirnya kerjanya telah selesai 90% dan memerlukan setengah hari sahaja untuk diselesaikan. Kesilapan yang aku lakukan adalah memberikan upah penuh kerana pada anggapan aku (assume lagi) dia boleh dipercayai. Dia telah postpone hari kerjanya kerana ada urusan keluarga.

Seminggu selepas itu ribut datang lagi dan bahagian yang siap 90% itu telah rosak dan tinggal 50% sahaja. Aku teramatlah marah. Aku telah memeberikan sms yang penuh ayat kiasan dengan harapan dia faham yang aku sedang berusaha mengawal marah aku atas tindakannya. Esoknya dia datang untuk membaiki kerosakan tersebut dan sekali lagi berjaya menyiapkan sehingga 90%. Dan sekali lagi dia dah tak datang-datang lagi. Di tempat kerja aku sangat mengelak untuk berjumpa dengannya supaya aku tidak akan menghampurkan kata-kata makian yang semestinya boleh mengaibkannya. Oleh itu aku hanya biarkan sahaja.

Sehingga hari ni aku dah tak peduli sama ada dia nak siapkan kerjanya atau tidak. Yang pasti kalau dia ada 'adab' dan menghormati kawannya, dia akan datang sendiri untuk tunaikan janjinya.. Sangat sengal..


Inilah 3 cerita yang aku boleh kongsikan. Apa yang aku dapat daripada cerita-cerita ini, hanya kawan-kawan terpilih sahaja yang boleh dipercayai. Dan sekiranya kita telah berjanji, hendaklah ditepati. Jika kita telah berjanji untuk melaksanakan satu tanggungjawab, hendaklah laksanakan sebaiknya kerana keberkatan rezeki yang kita peroleh daripadanya sangatlah bergantung kepada cara kita laksanakannya.






Friday, 1 June 2012

Kisah Kenduri Kahwin

Musim cuti sekolah seperti sekarang adalah waktu yang paling baik untuk mengadakan kenduri kahwin. Kadang-kadang kita terpaksa memilih salah satu daripada puluhan jemputan kenduri yang diadakan pada hari yang sama.

Kalau bercerita tentang kenduri kahwin, semestinya kita akan memperkatakan tentang pengantinnya, majlisnya, temanya, makanannya dan macam-macam lagi. Tapi jarang sekali kita nak ambil tahu bagaimana 'pembikinan' sesuatu kenduri kahwin itu dan siapakah kru-kru di 'sebalik tabir'.

Di sini aku kongsikan sedikit cerita tentang 'di sebalik tabir' pembikinan majlis kenduri kahwin mengikut pengalaman peribadi, sahabat dan kenalan aku yang aku rasakan sedikit berbeza dengan kebanyakan majlis kenduri kahwin masa kini. Aku hanya akan ceritakan kenduri di pihak pengantin perempuan memandangkan ia biasanya dianggap lebih penting.

Kisah Kenduri 1

Pengantin A bercita-cita untuk mengadakan majlis yang tidaklah begitu besar tetapi dipenuhi dengan sentuhan peribadinya sendiri. Baik dari baju pengantin, bunga tangan, hantaran, kek, pelamin, bilik pengantin, sampailah door gift, semuanya nak ada sentuhan peribadi tanpa 'anasir-anasir luar'. Disebabkan pengantin A seorang yang agak fussy, dia juga telah melakukan research yang agak lama untuk mendapatkan perincian untuk setiap perkara agar lancar dan teratur. Malangnya impiannya tidak kesampaian kerana semua perancangan hendaklah mengikut kehendak ibu bapanya kerana merekalah yang sponsor keseluruhan majlis tersebut. Dan pengantin A juga tidak berpeluang untuk 'berjasa' kepada kendurinya sendiri kerana segalanya telah diatur oleh org lain. Maka terpaksalah pengantin A mengikut sahaja dengan hati yang separuh gembira. Akibatnya, walaupun majlis telah berjalan dengan agak lancar dan telah lama berlalu, hati pengantin A masih kurang berpuas hati kerana angannya tidak kesampaian..

Kisah Kenduri 2

Kenduri pengantin B tidaklah mendapat sponsor yang begitu besar seperti pengantin A. Oleh itu, pengantin B sangat memastikan perbelanjaan mengikut budget. Dan disebabkan itu jugalah pengantin B berpeluang menyediakan keperluan perkahwinan mengikut kehendak sendiri. Tetapi, disebabkan itu, individu lain yang sepatutnya menyumbang idea, masa, dan tenaga untuk membuat persiapan perkahwinan bertindak hampir 'lepas tangan' kerana segalanya pengantin B yang buat. Dan sudah semestinya pengantin B menjadi agak tertekan dan persediaan yang sepatutnya lancar menjadi agak kucar-kacir kerana kekurangan tenaga kerja. Sungguhpun begitu, walaupun majlis perkahwinan tidaklah sehebat wedding of the year selebriti terkenal, pengantin B menjadi sangat menghargai setiap detik perkahwinannya kerana segala penat lelahnya selama ini amatlah berbaloi..

Kisah Kenduri 3

Pengantin C adalah seorang yatim piatu yang hidup dalam kesempitan. Usahkan angankan majlis yang sempurna, dapat buat kenduripun dah dikira bagus. Maka persiapan perkahwinannya tersangatlah ala kadar. Sungguhpun begitu, abang si pengantin C sedaya upaya menyediakan juga segala keperluan perkahwinan supaya majlis tersebut menjadi hampir sama seperti orang lain seperti hantaran perkahwinan walaupun hanya dibeli di pasar malam sahaja. Harapannya agar pengantin C gembira dan rasa diraikan. Jiran tetangga juga sedaya upaya membantu agar majlis berjalan dengan lancar. Dan ternyata, walaupun majlis tersebut tidaklah gah tetapi berjalan dengan sangat lancar dan berjaya menggembirakan hati semua orang. Dan sehingga kini pengantin C hidup berbahagia bersama suami tercinta..

Kisah Kenduri 4

Pada aku kisah nilah yang paling kasihan. Pengantin D juga seorang anak yatim piatu dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Kesemua adik beradiknya telahpun mendirikan rumah tangga dan mempunyai kehidupan masing-masing. Walaupun begitu, tak seorangpun yang peduli tentang perkahwinan pengantin D. Usahkan nak cuba menguruskan, bertanyapun tidak. Disebabkan pengantin D keseorangan dan tidak dapat mengadakan kenduri di pihak perempuan, maka keluarga pengantin lelaki teramatlah bersimpati. Oleh itu, mereka telah mengadakan majlis yang agak besar bagi pihak lelaki yang kebiasannya tidak dilakukan oleh kebanyakan kenduri bertandang. Maka lancarlah juga majlis berkenaan walaupun hati pengantin D masih sakit dengan tindakan adik-beradiknya sendiri. Mungkin juga dia masih berkecil hati sehingga sekarang walaupun anak-anaknya sudahpun besar. Mungkin..


Diharapkan cerita yang aku kongsikan ini dapat memberi pengajaran kepada semua. Kepada bakal-bakal pengantin, ingatlah, walau majlis kita tidak berlangsung dengan sempurnanya, masih ramai pengantin di luar sana yang langsung tak berkesempatan untuk diraikan. Bersyukurlah ye : )