Friday, 1 June 2012

Kisah Kenduri Kahwin

Musim cuti sekolah seperti sekarang adalah waktu yang paling baik untuk mengadakan kenduri kahwin. Kadang-kadang kita terpaksa memilih salah satu daripada puluhan jemputan kenduri yang diadakan pada hari yang sama.

Kalau bercerita tentang kenduri kahwin, semestinya kita akan memperkatakan tentang pengantinnya, majlisnya, temanya, makanannya dan macam-macam lagi. Tapi jarang sekali kita nak ambil tahu bagaimana 'pembikinan' sesuatu kenduri kahwin itu dan siapakah kru-kru di 'sebalik tabir'.

Di sini aku kongsikan sedikit cerita tentang 'di sebalik tabir' pembikinan majlis kenduri kahwin mengikut pengalaman peribadi, sahabat dan kenalan aku yang aku rasakan sedikit berbeza dengan kebanyakan majlis kenduri kahwin masa kini. Aku hanya akan ceritakan kenduri di pihak pengantin perempuan memandangkan ia biasanya dianggap lebih penting.

Kisah Kenduri 1

Pengantin A bercita-cita untuk mengadakan majlis yang tidaklah begitu besar tetapi dipenuhi dengan sentuhan peribadinya sendiri. Baik dari baju pengantin, bunga tangan, hantaran, kek, pelamin, bilik pengantin, sampailah door gift, semuanya nak ada sentuhan peribadi tanpa 'anasir-anasir luar'. Disebabkan pengantin A seorang yang agak fussy, dia juga telah melakukan research yang agak lama untuk mendapatkan perincian untuk setiap perkara agar lancar dan teratur. Malangnya impiannya tidak kesampaian kerana semua perancangan hendaklah mengikut kehendak ibu bapanya kerana merekalah yang sponsor keseluruhan majlis tersebut. Dan pengantin A juga tidak berpeluang untuk 'berjasa' kepada kendurinya sendiri kerana segalanya telah diatur oleh org lain. Maka terpaksalah pengantin A mengikut sahaja dengan hati yang separuh gembira. Akibatnya, walaupun majlis telah berjalan dengan agak lancar dan telah lama berlalu, hati pengantin A masih kurang berpuas hati kerana angannya tidak kesampaian..

Kisah Kenduri 2

Kenduri pengantin B tidaklah mendapat sponsor yang begitu besar seperti pengantin A. Oleh itu, pengantin B sangat memastikan perbelanjaan mengikut budget. Dan disebabkan itu jugalah pengantin B berpeluang menyediakan keperluan perkahwinan mengikut kehendak sendiri. Tetapi, disebabkan itu, individu lain yang sepatutnya menyumbang idea, masa, dan tenaga untuk membuat persiapan perkahwinan bertindak hampir 'lepas tangan' kerana segalanya pengantin B yang buat. Dan sudah semestinya pengantin B menjadi agak tertekan dan persediaan yang sepatutnya lancar menjadi agak kucar-kacir kerana kekurangan tenaga kerja. Sungguhpun begitu, walaupun majlis perkahwinan tidaklah sehebat wedding of the year selebriti terkenal, pengantin B menjadi sangat menghargai setiap detik perkahwinannya kerana segala penat lelahnya selama ini amatlah berbaloi..

Kisah Kenduri 3

Pengantin C adalah seorang yatim piatu yang hidup dalam kesempitan. Usahkan angankan majlis yang sempurna, dapat buat kenduripun dah dikira bagus. Maka persiapan perkahwinannya tersangatlah ala kadar. Sungguhpun begitu, abang si pengantin C sedaya upaya menyediakan juga segala keperluan perkahwinan supaya majlis tersebut menjadi hampir sama seperti orang lain seperti hantaran perkahwinan walaupun hanya dibeli di pasar malam sahaja. Harapannya agar pengantin C gembira dan rasa diraikan. Jiran tetangga juga sedaya upaya membantu agar majlis berjalan dengan lancar. Dan ternyata, walaupun majlis tersebut tidaklah gah tetapi berjalan dengan sangat lancar dan berjaya menggembirakan hati semua orang. Dan sehingga kini pengantin C hidup berbahagia bersama suami tercinta..

Kisah Kenduri 4

Pada aku kisah nilah yang paling kasihan. Pengantin D juga seorang anak yatim piatu dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Kesemua adik beradiknya telahpun mendirikan rumah tangga dan mempunyai kehidupan masing-masing. Walaupun begitu, tak seorangpun yang peduli tentang perkahwinan pengantin D. Usahkan nak cuba menguruskan, bertanyapun tidak. Disebabkan pengantin D keseorangan dan tidak dapat mengadakan kenduri di pihak perempuan, maka keluarga pengantin lelaki teramatlah bersimpati. Oleh itu, mereka telah mengadakan majlis yang agak besar bagi pihak lelaki yang kebiasannya tidak dilakukan oleh kebanyakan kenduri bertandang. Maka lancarlah juga majlis berkenaan walaupun hati pengantin D masih sakit dengan tindakan adik-beradiknya sendiri. Mungkin juga dia masih berkecil hati sehingga sekarang walaupun anak-anaknya sudahpun besar. Mungkin..


Diharapkan cerita yang aku kongsikan ini dapat memberi pengajaran kepada semua. Kepada bakal-bakal pengantin, ingatlah, walau majlis kita tidak berlangsung dengan sempurnanya, masih ramai pengantin di luar sana yang langsung tak berkesempatan untuk diraikan. Bersyukurlah ye : )

No comments:

Post a Comment